Nov 26, 2012

suatu norma di Tebing Gaza


Pernah kau rasa putus harapan? Kau hilang semua, dan ditinggal seorang, dalam kegelapan. Rasa mahu marah, mengamuk, merampus, membaling barang, menghentak kaki dan menjerit sekuat hati. Rasa mahu menangis, menangis dan menangis lagi, sampai bila bila mata mampu berkompromi. Sampai akhirnya jadi lompong, dan tinggal kosong. 

Itu apa yang Sara rasa, masa ibunya mati, dibedil Yahudi.

Ya, ini cerita klise tentang bagaimana seorang budak perempuan berumur lima tahun menjadi yatim piatu, di sebalik runtuhan batu dan kelongsong peluru.

--

Tadi malam Sara tidur dalam pelukan ibunya. Bila mahu lena pasti dia begitu, sebab ibu satu satunya keluarga yang dia punya. Dia takpernah kenal abang, kakak, mahupun bapa. “Mereka sudah pergi dijemput Syurga”, jawab ibu setiap kali dia bertanya. Sebelum lena, ibu usap usap rambutnya, cuit pipinya, dan kucup hidungnya. Dia cuma mengekek ketawa. Senang bila ibu terlebih memanja. Dan dia ingat, dia dakap peluk ibu erat erat. Dan sebelum mata dia pejam rapat, dia rangkul ibu kuat kuat.
                                        
Belum lama Sara lena, dia sudah kembali terjaga. Dunia kelilingnya gegak gempita dan huru hara. Kaos di merata rata. Suara jerit pekik datang dari semua arah. Sara panik, dan naluri pertamanya ialah mencari ibu. Lalu dalam kelam cahaya, dia meraba. Nama ibu diulang panggil tanpa noktahnya. Dan akhirnya dia ketemu -- ibu, di sebalik runtuhan batu dan kelongsong peluru.

Muka ibu merah, penuh darah.  Segera dia menuruti, berlutut di tepi. “Ibu takboleh mati!”, bentak Sara dalam hati. Cepat cepat dia sapu likat pekat di muka ibu. Digoncang tubuh ibu sambil mulut tak henti menyeru. Tapi ibu tetap layu, kaku, beku. Ibu jadi batu, jadi bisu, jadi kaku.

Semalam dia masih punya ibu. Hari ini dia yatim piatu.

Dan Sara putus harapan. Dia hilang semua, dan ditinggal seorang dalam kegelapan. Dia mahu marah, mengamuk, merampus, membaling barang, menghentak kaki dan menjerit sekuat hati. Dia mahu menangis, menangis dan menangis lagi, sampai bila bila matanya mampu berkompromi.

Tapi dia sudah tak punya hati. Dia sudah jadi lompong, dan tinggal kosong.

Ya, ini cerita klise tentang bagaimana seorang budak perempuan berumur lima tahun menjadi yatim piatu, di sebalik runtuhan batu dan kelongsong peluru, serta kezaliman Zion yang berhati beku.

No comments:

Post a Comment